Tuesday, 6 December 2011

Allah sentiasa menjaga ukhuwah kita, Yakinlah!!


Tahukah sahabat apa itu ukhuwah?

Pada saya, ukhuwah itu satu bentuk hubungan, berpaksikan keimanan kepada Allah SWT.
Dan dalam ukhuwah ini, segala pengorbanan dilakukan tanpa teragak-agak, hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT tanpa mengharapkan apa-apa pembalasan.
MasyaAllah. Indahnya ukhuwah.
Inilah apa yang kita pegang. Inilah apa yang kita percaya. Maka sahabat,

Menyayangi sahabat, tidak perlukan apa-apa alasan lain kecuali...

“Saya sayang sahabat semua, kerana Allah SWT.”
Benar. Kerana Allah SWT. Kita tak perlukan alasan lain.
Bukan perhatiannya yang kita kejar. Bukan hartanya yang menjadi sebabnya. Bukan juga kerana latar belakangnya.
Ini ialah nasihat untuk diri saya, juga sahabat yang lain. Sama-sama kita ambil iktibar.

Sabda Rasulullah saw;

“Tidak sempurna iman seseorang, selagi dia tidak menyayangi saudaranya sepertimana dia menyayangi dirinya sendiri.”

Mari kita sama-sama renungkan kembali. Tujuan kita bersahabat, tujuan kita berukhuwah.
Sebenarnya apa yang kita mahukan daripada hubungan itu?
Redha Allah.
Benar. Dan redha Allah itu, hanya apabila ukhuwah kita berpaksikan keimanan kepada Allah SWT. Bagaimana itu?

Sahabat,
Kita berukhuwah, dengan meletakkan penilaian ukhuwah itu pada Allah. Bukan kita.
Maksud saya, biarlah Allah yang menilai ukhuwah kita. Bukan tugas kita, sama ada mahu menentukan ukhuwah ini sempurna atau tidak.
Apa yang cuba saya sampaikan untuk diri saya juga sahabat ialah, kita terus berukhuwah tanpa meminta balasan. Kita teruskan sahaja berukhuwah, biarpun dia menolak kita, biarpun dia membuang kita, sekalipun dia kita rasakan seperti tidak mengenang budi kita, tapi kita perlu tahu – Allah sahaja yang Maha Mengetahui, Dia lebih layak untuk menilai ukhuwah kita.
Jadi apa yang perlu kita lakukan?
Teruskan berukhuwah.
Namun bagaimana jika dia seolah-olah tidak mahu meneruskan ukhuwah dengan kita? Bagaimana, jika pihak dia tidak memberikan respon ukhuwah kepada kita kembali?
Saya juga dihantui persoalan ini. Namun mata saya terbuka, setelah saya membaca buku Fazkuru karya Hilal Asyraf..
Melalui buku itu, saya tahu satu perkara, untuk kita sama-sama pegang.
Ukhuwah kita dengan dia, ialah tanggungjawab kita kepada Allah. Ukhuwah dia dengan kita, itu tanggungjawab dia dengan Allah.
Pokoknya, teruskan bersahabat.
Biarlah jika dia tidak mahu berukhuwah dengan kita.
Biarlah jika dia mengelak daripada kita.
Biarlah jika dia membuang kita sekalipun.
Itu tanggungjawabnya dengan Allah. Tanggungjawab kita dengan Allah, inilah yang perlu kita laksanakan.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abdullah bin Amru;

“Sesiapa yang hendak selamat daripada api neraka dan masuk syurga, dia perlu mati dalam keadaan betul-betul yakin kepada Allah dan hari akhirat, serta berurusan secara baik dengan orang lain sebagaimana dia mengharapkan orang lain berurusan secara baik dengannya.” (Hadith riwayat Muslim)
Ada banyak perkara yang boleh kita lakukan, demi manjaga ukhuwah kita.
Kita boleh menunjukkan teladan yang baik kepada dia, mengamalkan qudwah qabla dakwah.
Sabda Rasulullah SAW daripada Abu Darda’ ra;

“Tidak ada yang paling berat timbangannya melainkan akhlak yang baik” (Hadith riwayat Tirmizi)
Kita boleh mendoakan kebaikan untuk dia. Doa seorang sahabat, tidak sedikitpun dihijab Allah.
Kita boleh menasihatinya, di samping mendengar nasihatnya. Hidup saling menasihati, kerana manusia itu fitrahnya saling melengkapi.
Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila seseorang daripada kamu meminta nasihat maka hendaklah kamu menasihatinya.”
Kita juga boleh mengajak dia melakukan kebaikan sama-sama, beramai-ramai. Saya mendengar daripada Tanyalah Ustaz, Ustaz Kazim Elias mengatakan bahawa kebaikan itu, kita akan lebih bersemangat (punya ruh) jika dilakukan secara berjemaah.
Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 125;

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (tentang apa yang diserukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
Oleh itu usahlah kita berdendam atas kesilapan lalu. Mari kita, sama-sama eratkan ukhuwah kita. Kerana kita tahu dan yakin,
Allah akan sentiasa menjaga Ukhuwah kita
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 103;

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hati kamu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.”
Allah akan sentiasa menjaga ukhuwah kita, selagi mana kita berpegang teguh pada tali agama Allah.
Yakinlah, Dia sekali-kali tidak pernah memungkiri janji.
Takdir Allah itu, dihujung usaha manusia.
Firman Allah dalam surah ar-Rad ayat 11;

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”
Dan bukankah Allah itu Maha Berkuasa? Yakinlah padaNya, kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita, dan kekuasaanNya adalah tak terbatas.
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 29;

“Katakanlah, Jika kamu sembunyikan apa yang ada di hatimu atau kamu nyatakannya, Allah pasti mengetahuinya. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”
Oleh itu mari kita sama-sama muhasabah diri agar tidak bertindak mengikut emosi yang merenjat kewarasan akal kita.
Firman Allah dalam surah Luqman ayat 33;

“Maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia dan jangan pula kamu diperdayakan oleh ajakan dan bisikan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.”

Sama-sama kita mohon perlindunganNya, agar dieratkan ukhuwah kita. Mari kita, sama-sama berdoa;
"Ya Allah Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini (orang-orang yang telah dibayangkan tadi) telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini akn jalanNya yang sebenar. Penuhknlh (piala) hati ini dengan makrifat (pengetahuan sebenar) tentangMu. (Jika Engkau mentakdirkan mati) maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah perkenankanlah permintaan ini.”

Amiin... mari kita, sama- amalkan doa rabitah ini.
Semoga ukhuwah kita sentiasa dijagaNya. Yakinlah.
Pasti. insyaAllah.

No comments:

Post a Comment